Saturday, December 25, 2010

Bicara Hati Wanita


Segala puji hanya bagiMu Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku – seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku…..
Si tulang bengkok
Yang KAU gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran, sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki

Namun Ya Allah
Biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.
Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah padaku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami, seorang mujahid
Pengembang perjuangan disayap kiri

Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata, pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah, utusan Allah.

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti fatimah yang seringkali ditinggalkan suami,
Saidina Ali Dihantar pemergiannya tanpa bertanya
“Bila kan pulang?”
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan

Rumahtangga adalah syurga
Wadah suburnya CINTA ketuhanan, Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlega dicelahan periuk belanga

Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!!

Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendamping nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang dihati

Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf

Hak seorang suami
Tidak kan mungkin kupenuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya……

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Musa’ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai ‘hawarij’nya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu

Jua..
Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam – seluruh hidupnya
Mengabdikan diri kepada Tuhan

Meskipun daku bukan ibunya yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi

Namun..
Mudah-mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi-srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan, kesolehah, ramainya ummat Rasulullah
Yang saling redha berkorban dan dikorbankan

Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu yang telah kematian Putera-puteranya di medan jihad :
“Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
Kurelakan dia turut gugur di jalan Ilahi!”

Dan seandainya daku ditaqdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan Kecintaan padaMu Ya Ilahi
Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya KekasihMu sendiri pernah menyatakan


” Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita……..”

Thursday, December 23, 2010

wanita solehah


Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Keayuan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya,
Kemanisan wanita solehah, tidak terletak pada kemanjaannya,

Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu,
Bukan dan tidak sama sekali.

Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,

Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek ,

Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman ,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat Ilahi,

Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai ,
Kerna ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu ,

Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu.

Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya ,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.

Tips MelenTur Hati Wanita

Topik ini tentu sekali akan buat ramai kaum wanita merasa bengang dan tidak bersetuju tetapi merasakan topik ini perlu dipertengahkan kerana ianya penting dalam mengekalkan keharmonian sesuatu perhubungan.

Wanita mempunyai perangai unik di dalam perhubungan iaitu gemar merajuk dan ‘membuat perangai’. Sikap ini bukan sahaja melanda wanita di usia lingkungan 20-an yang boleh disifatkan sebagai kurang matang, tetapi juga hadir di kalangan wanita yang berusia 30 dan ke atas.

Mengupas sebab-sebab wanita ‘membuat perangai’, dapat meringkaskannya kepada tiga.
  1. Wanita merasakan apabila merajuk, mereka comel
  2. Wanita merasakan apabila membuat perangai mereka akan mendapat perhatian yang lebih daripada lelaki
  3. Wanita merasakan apabila lelaki tahu mereka tidak puas hati, mereka menang dan lelaki akan mengalah kepada tuntutan dan ugutan mereka
Tetapi kebanyakan wanita yang melakukan sikap keanak-anakkan ini tidak perasan bahawa dengan berperangai begitu akan menimbulkan reaksi dan emosi yang negatif di pihak lelaki. Kaum lelaki adalah insan yang ringkas. Mereka lebih sukakan sesuatu yang terus terang, straightforward. Berteka-teki untuk meneka mengapa wajah isteriku tiba-tiba mencuka atau memikirkan apakah salah mereka akan menambahkan tekanan yang tidak memperbaiki perhubungan.
  1. Lelaki akan berasa serba salah dan sering tidak begitu tahu apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan.
  2. Lelaki akan mencari jalan untuk tidak berkata benar hanya untuk escape daripada mengalami episod ‘buat perangai’.
  3. Lelaki akan bosan dengan sikap anda dan lama-lama akan bosan dengan perhubungan yang sering mengundang duka berbanding ceria
Episod merajuk dan buat perangai ini tidak akan muncul di awal-awal perhubungan. Hanya selepas pasangan mengakui perasaan cinta masing-masing dan sudah tidak ada ragu-ragu bahawa lelaki itu dia punya, wanita akan mula ‘menduga’ dengan merajuk dan menuntut perhatian menggunakan cara merajuk dan membuat perangai.
Sebagai contoh, teman lelaki terlupa telefon kerana sedang bermesyuarat. Oleh kerana tidak sabar, teman wanita mendail telefon bimbit berkali-kali dan tiada jawapan. Apabila teman lelaki menjelaskan kedudukannya yang berada di dalam bilik mesyuarat, teman wanitanya tidak akan menerima secara terus tetapi akan menyukarkan lelaki tersebut dengan soalan-soalan yang berbentuk tuduhan yang akan berakhir dengan teman wanita merajuk tak tentu pasal
Bagi mereka yang sudah berumahtangga, isteri sering cenderung untuk curiga apabila suami keluar berjumpa rakan-rakan. Maka SMS pun bertalu-talu dihantar bertanyakan bila suami nak balik walaupun dia baru sahaja keluar 10 minit. Apabila 15 minit tak balik, telefon pula dengan alasan anak menangis, kepala pening dan sebagainya untuk membuatkan suami balik cepat.

Ini hanyalah dua contoh tetapi pasti mengena ramai pelayar di luar sana. Sikap mengada-ngada wanita dalam perhubungan ini jika keterlaluan akan membahayakan perhubungan

Untuk mengikis sikap ini daripada terus bermaharajalela dalam perhubungan, orang lelaki atau suami perlu tegas membimbing isteri. Kita tidak mengatakan bahawa lelaki atau suami tidak boleh memanjakan isteri atau kaum wanita langsung tidak boleh buat perangai dalam perhubungan, tetapi biarlah munasabah dan jangan kerap berlaku

Para lelaki harus tegas dalam perkara ini. Memanglah sayang teman wanita dan isteri tetapi jangan sampai isteri yang menjadi nakhoda dalam kapal rumahtangga. Apabila merajuk itu tidak kena pada tempatnya, jangan dilayani. Sikap manusia terbentuk kerana kebiasaan atau conditioning. Apabila merajuk dan dilayan (positif), orang yang merajuk akan melakukannya lagi kerana reward yang diterimanya berpihak kepada apa yang dia mahu

Apabila kerap tidak dilayan tatkala merajuk kerana perkara-perkara remeh, sikap itu akan cuba diubah kerana dia tidak mendapat reward yang dikehendakinya. Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, jangan dilayan apabila teman wanita atau isteri merajuk atau buat perangai kerana perkara yang tidak munasabah

Kuatkan diri untuk buat muka 10 sen apabila teman wanita atau isteri mula berleter dan membuat perangai dengan lebih teruk lagi. Percayalah keadaan akan menjadi lebih baik apabila isteri sudah faham apa yang ingin anda sampaikan

Namun begitu, jangan melakukan teknik ini tanpa menerangkan terlebih dahulu kepada teman wanita dan isteri. Jelaskan kepada dia kenapa anda tidak melayan apabila dia buat perangai. Dan amat penting sekali untuk anda memastikan bahawa anda tidak melayan dia apabila dia merajuk tak tentu hala. Satu perkara lagi yang perlu diingat ialah, apabila merajuknya bertempat, jangan lupa pujuk

Bagi kaum wanita pula, merajuk sesekali itu mungkin comel tetapi kalau kerap sekali, memualkan. Put yourself in his shoes dan jadilah orang yang perlu memujuk selalu, tidak menyeronokkan langsung bukan? Perhubungan yang sihat ialah apabila masalah atau ketidakpuashatian dapat diselesaikan dengan interaksi dan komunikasi antara pasangan. Cakap terus terang dengan teman lelaki atau suami apa yang menyakitkan hati anda, dan cuba untuk menyelesaikannya. Tinggalkan ‘buat perangai’ dan merajuk ini kepada budak belasan tahun yang baru untuk bertatih bercinta

Wednesday, December 22, 2010

Otak Si Hati & Hati Si Otak





Otak:         
Jangan! Jangan Hati. Sudahlah.. jangan kau biarkan dia melukakan kau lagi.  Dahlah sekarang kau rasa sakit, tapi nanti kau akan lebih sakit.  Dia akan ulangi lagi.  Buang aje dia jauh jauh.. 

Hati: 
Tapi Otak, dia kelihatan seperti sudah insaf.  Aku kesian melihat dia.  Aku yakin dia sudah insaf. 

Otak:         
Jangan jadi bodoh Hati.  Kau ucapkan kata kata itu setiap kali selepas dia lukakan kau.  Dan selepas itu kau datang mengadu, merintih padaku, dia lukakan kau lagi.  Kau tak pernah serik ker? 

Hati:         
Mungkin betul kata kau.  Aku tak pernah serik.  Kerana aku ikhlas.  Tapi aku tak sangka pula ikhlas aku di balas tuba.  Tapi aku tak  akan putus asa. Aku yakin suatu hari nanti dia akan berubah.  Kalau dibandingkan dulu, kini dia jauh lebih baik. 

Otak:
Itu betul.  Tapi Melayu mudah lupa.  Dan dia pelupa.  Dia mudah lupa.  Sekejap dia tunjuk baik, mesra dan sayang.  Lepas tu pantang cerita hobinya dicuit, ditegur, mula berhambur kata kata kurang ajar.  Lepas tu buat muka kesian balik.  Sampai bila?  Kalau lepas bertahun dia masih begitu, apa yang membuatkan kau rasa yang dia akan jadi lebih baik selepas ni?  Tuan pun ada harga diri tau. 

Hati: 
Kata kau ada betulnya.  Entahlah.  Biar masa menentukan. 

Otak:
Kau tak kesiankan tuan kita ker?  Air matanya sudah kering..  sampaikan sekarang kau yang kena menangis bagi pihaknya.  Kau tak penat ker? 

Hati: 
Penat memang penat.  Aku memang kesian tapi aku tak punya kuasa macam kau.  Aku bertindakbalas pada keadaan sekeliling.  Kau dari tadi berleterkan aku.  Kau pun sekarang aku tengok sering membeku. 

Otak:         
(mengeluh) Entahlah Hati, aku pun kadang keliru.  Aku tengok tuan kita pun dah makin hanyut jauh ke dunianya sendiri.  Dah penat melayan perasaan agaknya. 

Hati:         
Dahlah kau jangan banyak fikir, biarlah tuan kita tidur.   Kesian dia..  saban hari disakiti manusia pelupa tu.  Padahal sama sama dulu tandatangan surat nikah.  Sama samalah kita berdoa agar tuan kita mendapat petunjuk dah Yang Maha Esa.

Tuesday, December 21, 2010




Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku.". Suatu masa dulu, aku juga pernah melaungkan rasa benci pada cinta sehinggakan aku mengatakan yang Aku Tidak Percaya Lagi pada Cinta.

Pada aku, cinta itu maksudnya Setia. Namun, manusia tidak mungkin akan setia kerana manusia tidak kekal abadi. Tekat aku mengagungkan kata walau picisan perasaan sepi menghimpit pilu.
Kerana itu, aku merasakan  hari-hari yang aku lalui mungkin  terlalu hina untuk mencari cinta yang akan kekal sampai mati. Mungkin aku terlalu naïf untuk mencari kesempurnaan kasih. Aku juga lupa yang aku hanya punyai satu hati untuk diperjudikan dalam hubungan itu. Kasih yang aku puja tidak kekal lama. Zahir dan Batin aku tersiksa. Biar aku didusta, biar aku merana, aku tetap hidup menghirup udara didunia ini. Banyak lagi perjalanan yang harus aku tempuhi walaupun likunya aku harung seorang diri.

Tetapi semalam, saat aku rasakan kebahagian telah hadir, aku tidak mampu untuk berkata apa. Aku juga tidak mampu untuk memperjudikan kasih ini lagi. Aku telah tiada apa2 yang boleh dibanggakan. Cuma Hati ini aku serahkan dengan Ikhlas kerana Allah untuk dikasihi dan dicintai. Saat dirimu hadir, Aku juga sukar untuk mencari dimana nilainya aku kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau.

Hari ini, mungkin episod duka aku telah pun berakhir. Saat ini kau hadir bagai sekeping hati yang aku benar-benar cintai. Kasih itu bukan aku cari, tetapi ia hadir bagaikan mimpi. Aku terima kerana ia bagailah satu anugerah yang dikurniakan oleh Ilahi untuk nikmat didunia ini. Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan lelaki lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Untuk esok, aku akan membulatkan tekad, kasih ini akan aku darjatkan dirimu menjadi seorang Suami dan menjadi bapa kepada anak-anak ku. Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal dilamar oleh mu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.
" Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu redhai agama dan akhlaknya maka nikahilah dia.Jika tidak dilakukan akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan berleluasa.”

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku. Dirimu yang menjadi rahsia terpenting dalam hidupku tetap dihati dan disanubari. Akan kekal abadi hingga akhir nanti.


Buat Mu Teman

Buat temanku yang dikasihi kerana Allah..

seringkali ku tersenyum tiap kali kau menintakan lafaz cinta dan kasih..

Sungguh, sedalam mana kau mencintaiku, tentu kasihku pada mu seluas lautan tak bertepi, sedalam lautan tak berdasar,

namun ku tak betah menuturkannya di depanmu duhai temanku..

apatah lagi membalas jawapan kasihmu itu..

kerana seringkali aku takut…

aku takut disaat aku menuturkan lafaz cinta itu..

aku tidak mampu melepaskan dikau pergi dari hidupku..

kerana…

diari seseorang  itu…

anak-anaknya datang dan pergi…

ada yang tidak akan ditemuinya berkurun lama..

ada yang akan terus hanyut dibuai lautan dunia penuh badai..

ada yang masih terus bersama, namun berada di bawah teduhan teman yang lain pula…

seringkali jalan ini mengajarku untuk berkasih seadanya, mencintai semampunya…

kerana kepahitan di saat berpisah itu terasa kesat dihati ini dan air mata yang mengirirnya tidak mampu ditanggung oleh seberkas hati kecil ini…

cukuplah cinta ini bermuara di hatiku tanpa ucapan..

biarlah senyumanku, tawaku, dan keprihatinanku padamu melukiskan kasihku yang dalam padamu…

Dikaulah lilin yang menerangi hari suramku temanku,

dikaulah pengejut jiwa yang terkadang mengantuk ini,

dikaulah penolak hati di kala di diri ini lemah…

Dan aku menyintaimu sepenuh hatiku..

Duhai buah hatiku yang rindui atas cintaNya…
di saban waktu…

Buat teman2 kesayanganku, di mana sahaja antunna berada,

Dikau sentiasa dalam hati...


Monday, December 20, 2010

KAsih Sayang..

Dunia ALLAH jadikan cantik pada pandangan mata. Ia dihias dengan pelbagai nikmat, keindahan dan kebahagiaan - rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat-lazat, anak-anak yang menghiburkan dan lain-lain. Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dapat dimilikinya. Ada yang dapat memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperolehi sanjungan manusia, boleh bertukar ganti pakaian selalu, makan makanan yang enak-enak. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya? Walhal tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasih melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.

Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan mejadi miskin, dia tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka di sinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan dikurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada ALLAH.

Dia cukup yakin ALLAH itu Maha Bijaksana. Maha Suci ALLAH dari tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALAH Maha Adil , oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adil-Nya. Justeru itu akan membuatkan hatinya makin redha, merendah diri dan semakin hampirlah hatinya dengan ALLAH.

Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatiya. Walhal kerana Maha Tahunya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.

Sebaliknya kalau seseorang yang direzeki dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya.

Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan ALLAH terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa diuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan ALLAH itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.

Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah nilaian dan ukuran ALLAH.

Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ia boleh menghampirkan diri kita dengan ALLAH.

Bersyukurlah Wahai Diri



Assalamu'alaikum w.b.t ,
Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya..

Sekadar menukilkan sesuatu yakni tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan buat diri yang sering lupa dan lalai...

Hidup tidak selalunya indah sepertimana langit juga tidak selalunya cerah,
kadangkala malam juga suram tiada bintang..namun ketahuilah bahawa itulah lukisan alam iaitu sesuatu ketentuan dari Allah s.w.t kepada makhluknya,
bukanlah kerana ingin menyiksa hambaNya kerana Dia lah yang maha penyayang, dan ketahuilah wahai kerana penyayang dan pemurahNya lah ditentukan segala ini, untuk mengingatkan kita akan kebesaranNya dan kekuasaanNya atas segalanya...

Mungkin,terkadang kita merasakan sesuatu itu diperoleh kerana usaha kita,bakat yang kita ada,atau hebatnya kita dalam sesuatu...Namun,hakikatnya tidaklah sedemikian...kerana tiadalah yang mampu memberi dan mengurnia,melainkan Allah s.w.t yang tiada berhajat pada sesiapa...
Andai ada yang berkata, aku jadi sebegini kerana aku hebat atau disebabkan guru aku, ingatlah bahawa "aku" dan "guru" itu juga berhajat pada sesuatu yakni Allah s.w.t...
Jadi, ketika mana kita berada dalam kegembiraan, maka sentiasa beringatlah dan bersyukurlah pada tuan yang memberinya yakni Allah s.w.t..dan bermohonlah agar itu adalah kegembiraan yang diberkati...

Namun,ketika mana kecewa atau kesedihan, maka ingatlah wahai diri bahawa jangan sesekali ada rasa putus asa pada rahmat Allah s.w.t...kerana rahmat Allah itu luas..

wahai diri, sesungguhnya tidak dikurnia apa yang kau hajati bukanlah kerana engkau dihinakan oleh Allah s.w.t, bahkan itulah tanda kasih Allah s.w.t kepada kamu, Dia ingin terus mendengar rintihan kamu kepadaNya, dan dengan itulah Dia kan membalas kepada kamu dengan balasan yang lebih baik di akhirat kelak..

wahai diri, cuba engkau renung kembali dengan apa yang telah kau lalui selama ini, tidakkah kau sedar bahawa telah banyak kegembiraan yang dikurniakan kepada kamu sebelum ini,telah banyak perkara yang kau hajati dan dikurniakan ia kepada kamu...sehingga di ibaratkan kecewa kamu hari ini hanyalah setitis air dan selautan kegembiraan dalam kehidupan kamu..

wahai diri, jangan sesekali kau rasa usaha kamu yang lepas itu sia-sia bagi kamu kerana di sebalik itu ada yang melihat, mengetahui dan menilai segala usaha kamu dan dijanjikanNya kelak balasan yang baik atas usaha kamu..jadi,teruskan berusaha untuk akan datang,kuatkan semangat kamu walaupun mungkin seluruh manusia memandang kamu lemah,namun andai kamu istiqamah dalam berusaha,kamulah yang paling gagah di sisi Allah s.w.t, kerana kamu mampu melawa nafsu dan ikhlas dalam berusaha...


wahai diri,tanamkan azam dalam diri untuk menjadi insan yang lebih baik,buatlah yang terbaik dan gunalah segala kemampuan yang ada..insyaAllah kamu akan berjaya kelak..insyaAllah

Mungkin hari ini aku gagal untuk mencapai apa yang diinginkan, namun tidak akan selamanya aku ingin gagal..suatu hari nanti insyaAllah kejayaan yang ku idamkan pasti ku kecapi..

Ya Allah, hanya kepadaMu sahajalah aku bergantung harap dan memohon agar Kau sentiasa di sisi ku membantu aku dalam menempuh segala rintangan dan onak duri dalam kehidupan, semoga suatu hari nanti,ketika mana aku menghadapMu kelak,aku tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya..Allahumma Ameen