Monday, December 20, 2010

KAsih Sayang..

Dunia ALLAH jadikan cantik pada pandangan mata. Ia dihias dengan pelbagai nikmat, keindahan dan kebahagiaan - rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat-lazat, anak-anak yang menghiburkan dan lain-lain. Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dapat dimilikinya. Ada yang dapat memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperolehi sanjungan manusia, boleh bertukar ganti pakaian selalu, makan makanan yang enak-enak. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya? Walhal tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasih melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.

Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan mejadi miskin, dia tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka di sinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan dikurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada ALLAH.

Dia cukup yakin ALLAH itu Maha Bijaksana. Maha Suci ALLAH dari tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALAH Maha Adil , oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adil-Nya. Justeru itu akan membuatkan hatinya makin redha, merendah diri dan semakin hampirlah hatinya dengan ALLAH.

Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatiya. Walhal kerana Maha Tahunya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.

Sebaliknya kalau seseorang yang direzeki dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya.

Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan ALLAH terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa diuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan ALLAH itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.

Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah nilaian dan ukuran ALLAH.

Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ia boleh menghampirkan diri kita dengan ALLAH.

Bersyukurlah Wahai Diri



Assalamu'alaikum w.b.t ,
Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w serta ahli keluarganya dan juga para sahabatnya..

Sekadar menukilkan sesuatu yakni tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan buat diri yang sering lupa dan lalai...

Hidup tidak selalunya indah sepertimana langit juga tidak selalunya cerah,
kadangkala malam juga suram tiada bintang..namun ketahuilah bahawa itulah lukisan alam iaitu sesuatu ketentuan dari Allah s.w.t kepada makhluknya,
bukanlah kerana ingin menyiksa hambaNya kerana Dia lah yang maha penyayang, dan ketahuilah wahai kerana penyayang dan pemurahNya lah ditentukan segala ini, untuk mengingatkan kita akan kebesaranNya dan kekuasaanNya atas segalanya...

Mungkin,terkadang kita merasakan sesuatu itu diperoleh kerana usaha kita,bakat yang kita ada,atau hebatnya kita dalam sesuatu...Namun,hakikatnya tidaklah sedemikian...kerana tiadalah yang mampu memberi dan mengurnia,melainkan Allah s.w.t yang tiada berhajat pada sesiapa...
Andai ada yang berkata, aku jadi sebegini kerana aku hebat atau disebabkan guru aku, ingatlah bahawa "aku" dan "guru" itu juga berhajat pada sesuatu yakni Allah s.w.t...
Jadi, ketika mana kita berada dalam kegembiraan, maka sentiasa beringatlah dan bersyukurlah pada tuan yang memberinya yakni Allah s.w.t..dan bermohonlah agar itu adalah kegembiraan yang diberkati...

Namun,ketika mana kecewa atau kesedihan, maka ingatlah wahai diri bahawa jangan sesekali ada rasa putus asa pada rahmat Allah s.w.t...kerana rahmat Allah itu luas..

wahai diri, sesungguhnya tidak dikurnia apa yang kau hajati bukanlah kerana engkau dihinakan oleh Allah s.w.t, bahkan itulah tanda kasih Allah s.w.t kepada kamu, Dia ingin terus mendengar rintihan kamu kepadaNya, dan dengan itulah Dia kan membalas kepada kamu dengan balasan yang lebih baik di akhirat kelak..

wahai diri, cuba engkau renung kembali dengan apa yang telah kau lalui selama ini, tidakkah kau sedar bahawa telah banyak kegembiraan yang dikurniakan kepada kamu sebelum ini,telah banyak perkara yang kau hajati dan dikurniakan ia kepada kamu...sehingga di ibaratkan kecewa kamu hari ini hanyalah setitis air dan selautan kegembiraan dalam kehidupan kamu..

wahai diri, jangan sesekali kau rasa usaha kamu yang lepas itu sia-sia bagi kamu kerana di sebalik itu ada yang melihat, mengetahui dan menilai segala usaha kamu dan dijanjikanNya kelak balasan yang baik atas usaha kamu..jadi,teruskan berusaha untuk akan datang,kuatkan semangat kamu walaupun mungkin seluruh manusia memandang kamu lemah,namun andai kamu istiqamah dalam berusaha,kamulah yang paling gagah di sisi Allah s.w.t, kerana kamu mampu melawa nafsu dan ikhlas dalam berusaha...


wahai diri,tanamkan azam dalam diri untuk menjadi insan yang lebih baik,buatlah yang terbaik dan gunalah segala kemampuan yang ada..insyaAllah kamu akan berjaya kelak..insyaAllah

Mungkin hari ini aku gagal untuk mencapai apa yang diinginkan, namun tidak akan selamanya aku ingin gagal..suatu hari nanti insyaAllah kejayaan yang ku idamkan pasti ku kecapi..

Ya Allah, hanya kepadaMu sahajalah aku bergantung harap dan memohon agar Kau sentiasa di sisi ku membantu aku dalam menempuh segala rintangan dan onak duri dalam kehidupan, semoga suatu hari nanti,ketika mana aku menghadapMu kelak,aku tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya..Allahumma Ameen
 
 

Jangan Kerana Cinta

Jatuh cinta itu indah, lagi indah sekiranya cinta itu jatuh dan tumpah kepada 'orang' yang tepat untuk dicintai, 'orang' yang berhak dicintai, 'orang' yang layak dicintai, dan 'orang' yang turut mencintai kita sepertimana cintanya kita kepada 'dia'.

Benarlah cinta Allah adalah cinta yang teragung. Cinta hakiki. Cinta abadi. Namun Allah juga berfirman dalam Surah Ar-Ruum Ayat 21 yang bermaksud;

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."

Maha Suci Allah. Setiap manusia yang normal tentunya perlukan cinta namun soalnya, bagaimana mendapat cinta yang 'tepat'? Haruskah hanya dengan menunggu atau patutkah kita mencari? Bilakah masa yang sesuai untuk memupuk dan menyemai perasaan cinta dan kepada siapakah cinta itu patut dicurahkan? Keliru mencari jawapan.

Tanpa lelaki bergelar suami, seorang wanita terasa kekurangan. Tanpa wanita bergelar isteri lelaki bagaikan tidak sempurna. Sesungguhnya lelaki dan wanita itu saling memerlukan dan saling melengkapi, sesuai dengan fitrah yang diciptakan oleh Ilahi. Sebagaimana Adam memerlukan Hawa biarpun di syurga semuanya indah belaka. Apatah lagi di dunia yang penuh cubaan dan dugaan ini.

Cinta adalah suci. Cinta adalah fitrah. Cinta adalah suatu anugerah yang diciptakan oleh Sang Pencipta dan seharusnya cinta layak dimuliakan. Sang Pencinta seharusnya dipandang tinggi dan bukan dipandang hina. Sang Pencinta seharusnya berbahagia bukan sahaja ketika hidupnya di dunia, tapi juga di akhirat.

Namun sayangnya, kerana cinta, manusia selalu lupa dan alpa. Cenderung untuk melakukan kemaksiatan dan mengingkari perintah Tuhan.. Cinta sering disalah tafsir, di salah guna dan menjadi penyebab manusia kian menjauhi Tuhan. Mereka melupakan soal syurga dan neraka. Membuat kemungkaran atas nama cinta. Sang Pencinta menjadi hina dina.

Atas nama cinta segalanya dihalalkan. Atas nama cinta, Para Pencinta malahan sanggup berzina. Itu yang terjadi, biarpun atas nama cinta, kerana cinta itu hanyalah cinta yang berlandaskan nafsu, bertuhankan syaitan. Cinta yang serong hanya mampu memakan diri dan membinasakan. Mengundang kemurkaan Allah dan menempah tempat di neraka. Naauzubillahiminzalik.

Kita juga tidak akan terkecuali. Hari ini atau esok, saat itu pasti tiba. Detik di mana rasa cinta itu terbit dari dalam jiwa. Atau dilontarkan oleh-Nya ke dalam sanubari kita. Bagaimanakah agaknya 'rupa' cinta kita kelak? Cinta yang melayakkan kita ke syurga atau sebaliknya? Cinta yang diredhai dan direstui Allah atau bagaimana?

Sabarlah menanti. Saat itu pasti tiba. Dan semoga, bila ianya hadir, kita tidak gentar dan tidak lemah. Teruslah mara melangkah dengan gah, berpimpin tangan dengan 'dia' yang dicintai, teruslah hingga ke syurga. Jangan kerana cinta, kita merana. Berbahagialah kerana dicintai dan mencintai. Kerana cinta itu indah.

Wallahua'alam.