Monday, February 21, 2011

Janganlah Memungkiri Janji

Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.



Allah telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji." (Surah l-Maidah : 1)

Allah s.w.t. telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitab-Nya yang mulia dengan firman-Nya:

"Sesungguhnya dia (Ismail) adalah benar janjinya." (Surah Maryam : 54)

Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata:

"Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku."

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya:

"Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata:

"Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu."

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, niscaya dia akan berkata: "InsyaAllah."

Cara beginilah yang lebih baik. Sesudah berkata InsyaAllah, jika ia memang faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya.

Maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanah dia khianati."

Sabda Baginda yang lain:

"Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, dia siang-siang telah berazam untuk menyalahi janjinya ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.

Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu tiadalah terkira seorang munafik meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya.

Namun sebaik-baiknya, hendaklah dia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu sebagaimana dia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga; iaitu apabila berjanji, cari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Sahabat.. ketahuilah. Apabila dimungkiri, ia sakit dan pedih. Jadi hindarilah dari memungkiri janji.